Assalamu'alaikum wrb ❤
Dua orang ahli bomba masuk ke dalam hutan untuk memadamkan
satu kebakaran kecil. Sesudah selesai, mereka berdua lantas menuju ke arah
sebuah sungai. Wajah salah seorangnya telah dilumuri abu hitam; sebaliknya wajah seorang lagi
adalah bersih sama sekali tanpa sebarang noda.
Soalan: Ahli bomba manakah yang akan membasuh muka?
Mengapa Cermin Dicipta?
Sebab utama cermin dicipta adalah untuk melihat kalau-kalau ada yang tidak kena
pada penampilan diri. Adakah rambut kita tersisir rapi? Adakah tudung yang
dipakai itu senget? Adakah jambang yang dicukur itu kemas lagi licin? Adakah
celak dan gincu yang ditempek itu herot? Atau masih adakah saki-baki air liur
basi yang terlekat di pipi?
Dengan kata lain, kita melihat cermin untuk memastikan kesempurnaan fizikal
diri. Kata kunci di sini ialah "memastikan kesempurnaan". Ini
bermaksud, melihat cermin dengan tujuan untuk "syok sendiri akan
kesempurnaan" diri adalah sangat terpesong daripada tujuan asal mengapa
cermin dicipta.
Berbalik kepada soalan di awal-awal tadi, siapakah yang akan membasuh muka?
Yang berwajah kotor atau pun yang berwajah bersih? Jawapan yang betul adalah si
ahli bomba yang berwajah bersih. Mungkin jawapan ini agak mengelirukan. Mengapa
pula yang si berwajah kotor tidak membasuh mukanya?
Begini: Apabila yang berwajah kotor itu melihat rakannya yang berwajah bersih,
maka dia pun berpendapat bahawa wajahnya pasti lah bersih seperti rakannya.
Namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada yang berwajah bersih. Apabila dia
melihat kekotoran pada wajah rakannya itu, maka dia pun berkata kepada diri
sendiri: "Muka aku pun mesti kotor juga macam dia. Baik aku basuh."